Pages

Tuesday, 1 January 2013

Filem Terbaik & Terburuk 2012




Bukan mudah untuk memilih filem yang terbaik dan terburuk apatah lagi 2012 mempersembahkan begitu banyak filem yang sangat cemerlang dan sangat mengarut dalam masa yang sama. Namun begitu, kami telah memilih antara filem-filem yang kami anggapkan cukup kukuh untuk disenaraikan. Ada sesetengah filem seperti "The Hobbit", "Les Miserables" dan "Cloud Atlas" yang sudah memasuki carta di Hollywood tidak memasuki senarai kami disebabkan masih belum atau masih baru ditayangkan di pawagam. Ada pula filem lain seperti "Prometheus" dan "John Carter" yang tidak memasuki carta kerana terlalu banyak percanggahan akibat sesetengah penonton yang amat menyukai kedua-dua buah filem ini dan ada yang menganggap kedua-duanya filem yang teruk.
Ini pilihan kami. Apa pula pilihan anda?
Filem Terbaik 2012
Life of Pi
Apa yang boleh dibenci tentang filem arahan Ang Lee ini? Dari sudut sinematik, Life of Pi merupakan hasil yang indah, hebat dan menakjubkan dan membuktikan kekuatan Ang Lee sebagai seorang pencerita. Malah desas-desus mengatakan filem ini tidak mungkin tidak akan memasuki senarai pencalonan Oscar!
The Dark Knight Rises
Bahagian akhir trilogi Batman arahan Christopher Nolan ini mungkin tidak dapat menarik minat begitu ramai seperti filem sebelumnya, "The Dark Knight" (1998). Namun tidak syak lagi, dari sudut plot dan penceritaan, apatah lagi efek khas dan perkembangan watak, ia tidak kurang hebatnya. Malah interpretasi Nolan dan Tom Hardy untuk watak Bane sebagai antagonis yang punya visi dan misi menjadikan Bane antara watak jahat Batman yang terunggul.
Skyfall
Selepas kejayaan "Casino Royale" dan kekecewaan "Quantum of Solace", Daniel Craig sekali lagi menarik perhatian umum sebagai James Bond, kali ini melalui penciptaan semula watak ikonik tersebut di bawah arahan Sam Mendes. Sebagai sebuah francais, Skyfall juga berjaya menjadi sebuah filem aksi yang boleh berdiri dengan sendirinya. Malah, sekiranya ini bukan filem Bond, ia tetap boleh menjadi filem aksi yang mengagumkan. Kehadiran Javier Bardem sebagai antagonis Raoul Silva bagaikan bonus buat filem ini!
Chronicle
Chronicle merupakan antara filem yang anda tidak sangka akan menjadi sebuah filem yang hebat, tetapi anda akan terus menonton hingga ke akhirnya. Sekalipun dipersembahkan dalam bentuk found footage/sains fiksyen, Josh Trank tidak terpengaruh untuk menghasilkan genre seram, tetapi bertindak menghasilkan sebuah filem yang memaparkan elemen asal-usul kejadian adiwira dan antagonisnya, yang juga sebuah kisah tentang dua saudara/rakan karib yang menggunakan kuasa yang mereka dapati dalam dua cara berbeza disebabkan gaya hidup yang berlainan.
The Cabin in the Woods
Apa yang menarik tentang The Cabin in the Woods ialah Drew Goddard berjaya menjadikan filem ini lucu, aneh dan menakutkan dalam masa yang sama, tidak jauh bezanya dengan apa yang berjaya Sam Raimi lakukan dengan francais "Evil Dead" tiga dekad yang lalu. Bayangkan H.P. Lovecraft, Sam Raimi dan Sigourney Weaver disatukan dalam bentuk filem, itulah cara paling mudah yang boleh kami jelaskan.
The Hunger Games
Pada awalnya, ramai yang tidak punya kepercayaan terhadap adaptasi karya Suzanne Collins ini kerana umum tahu novelnya ditulis dalam bentuk monolog dan sudut pandang karakter utama. Namun begitu, pengarah Gary Ross berjaya menterjemahnya ke bentuk filem dengan lebih baik dan lebih mudah difahami penonton. Malah, lakonan Jennifer Lawrence yang cukup mantap sebagai Katniss sekalipun tanpa bantuan monolog (seperti dalam novel) dan hanya menggunakan penghayatan reaksi wajah menjadikan The Hunger Games satu pengalaman yang memuaskan.
The Avengers
Apa lagi yang boleh dikatakan tentang gabungan beberapa pelakon hebat yang melakonkan watak-watak adiwira Marvel kegemaran ramai? The Avengers telah pun menjadi tumpuan dan filem mesti tonton 2012 belum pun ia memulakan penggambaran.
Looper
Looper menggunakan tema jelajah masa yang agak klise dan membosankan, tetapi berjaya menjadikannya sebuah filem yang hebat dan inovatif - anda tidak pasti sama ada ia sebuah filem aksi, sains fiksyen atau drama tetapi ia memiliki kesemuanya. Sayangnya, filem arahan dan tulisan Rian Johnson lakonan JOseph Gordon Levitt ini tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan sekalipun dengan kekuatan ceritanya.
Filem Teruk 2012
Filem yang tidak mendapat undian kami muncul dalam bentuk dan genre yang seakan sama!
Filem Pontianak 
"Abraham Lincoln: Vampire Hunter" & "Dark Shadows"
Idea Abraham Lincoln sebagai seorang pemburu pontianak memang menarik, malah ditulis dengan baik oleh novelisnya, Seth Grahame-Smith. Namun begitu, filem arahan Timur Bekmambetov dan terbitan Tim Burton ini terlalu serius membincangkan soal patriotisme dan perjuangan Lincoln sehinggakan anda sudah tidak pasti sama ada ini adalah filem fiksyen tentang seorang pemburu hantu yang kemudiannya menjadi presiden AS, atau cara bosan untuk menjadikan pengajian tentang falsafah politik Abraham Lincoln lebih menarik. Begitu juga dengan sebuah lagi filem Tim Burton, Dark Shadows. Ia mungkin menarik dan lucu pada setengah jam yang pertama, tetapi lawak yang sama diulang tayang berkali-kali selama dua jam menyebabkan anda mula mempersoalkan diri sendiri, sama ada anda ke panggung kerana filem ini filem berkualiti atau kerana anda ingin melihat Johnny Depp melakukan gelagat dan solekan anehnya. Mungkin Abraham Lincoln patut pancung Barnabas Collins dengan kapaknya.
Filem Adaptasi Permainan Video 
"Resident Evil: Retribution" & "Silent Hill: Revelation 3D"
Dua buah filem adaptasi permainan video yang tidak tahu bila masanya untuk berhenti. Retribution (Hukuman) dalam Residet Evil adalah menghabiskan sejam lebih di dalam panggung menonton francais yang tidak berkesudahan ini sementara Revelation (Pendedahan) filem Silent Hill pula adalah kesedaran para penonton bahawa mereka baru saja menghabiskan wang untuk menonton filem 3D yang tidak menakutkan atau pun memberi sebarang perbezaan sebelum dan selepas menontonnya.
Filem Snow White
"Mirror Mirror" & "Snow White and the Huntsman"
Dua buah filem tentang Snow White, dan kedua-duanya membosankan dalam dua cara yang berbeza. "Mirror Mirror" seolah-olah cuba memaksa anda menerima bahawa ini adalah sebuah filem feminisme, kononnya satu pembaharuan kerana Snow White juga seorang penentang dan bukan sekadar mangsa keadaan. Malangnya, ini bukanlah kali pertama seorang pengarah cuba memasukkan unsur sedemikian ke dalam filem. Lihat saja sebuah lagi filem Snow White, "Snow White & the Huntsman". Percubaan untuk menjadikan filem tersebut lebih fantastikal mungkin idealistik, tetapi jujur kami katakan, kita semua sudah tahu bagaimana kisah Snow White berakhir, menyebabkan keseluruhan plot hanya menjadi satu pengembaraan yang menarik bagi Snow White dan si Pemburu, bukan bagi penonton.
Filem Found Footage 
"The Devil Inside" & "Paranormal Activity 4"
Sudah tiba masanya untuk menghentikan, paling tidak pun, mengurangkan filem-filem genre found footage apatah lagi yang menggunakan tema pemujaan syaitan atau kerasukan. "The Devil Inside" arahan William Brent Bell tidak nampak seperti filem tetapi seperti cara mudah untuk mendapatkan keuntungan (siapa yang tidak suka filem genre found footage, kan?) dengan menggunakan bajet paling kurang dan gaya pengarahan yang paling malas. Hasilnya? Sebuah lagi karya tentang kerasukan dan aktiviti menghalau hantu. Manakala "Paranormal Activity" mungkin satu idea yang bernas suatu masa dahulu, tetapi kini tidak lebih dari sebuah francais yang tidak tahu bagaimana caranya untuk berhenti. Berdoalah ia tidak akan menjadi seperti francais "Friday the 13th", "Child's Play" atau "Nightmare on Elm Street".

No comments:

Post a Comment

ShareThis